Isnin, 2 Januari 2012

100 Mahasiswa UPSI Merusuh



Sambutan tahun baru 2012 dicemari keganasan apabila sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi yang menganjurkan demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, awal pagi semalam, bertempur dengan polis selepas ingkar dengan arahan bersurai.Kumpulan penuntut itu turut bertindak memecah pintu sebuah klinik beramai-ramai dan memaksa doktor bertugas merawat rakan mereka yang cedera.

Kumpulan lebih 100 penuntut dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), mula berkumpul di pintu masuk UPSI, di sini, bermula jam 1 pagi semalam.Mereka kemudian menggunakan pembesar suara menuntut pihak kerajaan menghapuskan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dan membebaskan penuntut UPSI, Adam Adli, yang ditahan kerana menurunkan bendera bergambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 17 Disember lalu.


Sementara itu, 30 mahasiswi pula membuat ‘benteng’ di belakang mahasiswa berkenaan dan enggan berganjak sambil memegang kain rentang berwarna putih.Keadaan ini memaksa anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim mengerahkan kira-kira 80 anggotanya untuk menyuraikan demonstrasi itu.


Namun, keadaan menjadi kian panas apabila peserta demonstrasi mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh pihak Umno menjadi dalang dalam penahanan Adam sebelum bertindak menggoncang pintu pagar UPSI dan cuba memanjatnya.Mahasiswa mula bertempiaran lari apabila anggota polis cuba menahan mereka selepas gagal dipujuk menyerah diri secara baik.


Kira-kira jam 2.30 pagi suasana menjadi kecoh semula apabila lima mahasiswa dilihat mengangkat rakan mereka, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safuan Anang yang pengsan dan sesak nafas selepas bergasak dengan polis.Mereka yang mendakwa Safuan dipukul polis membawanya ke sebuah klinik swasta berhampiran bagi mendapatkan rawatan.


Menyedari pintu klinik 20 jam berkenaan berkunci, beberapa ahli demonstrasi bertindak ganas memecahkan pintu kaca klinik sebelum memaksa doktor dalam premis memberi rawatan. Bagaimanapun, doktor bertugas yang ketakutan meminta mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.



Keadaan menjadi tenang setengah jam kemudian apabila polis menahan beberapa mahasiswa sebelum dibawa ke balai polis Tanjung Malim untuk tindakan lanjut. Kejadian itu turut diperhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Adun Behrang, Jamaludin Mohd Radzi, yang kesal dengan tindakan pelajar berkenaan.



Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan yang dihubungi berkata, 17 penuntut diberkas selepas didapati enggan bersurai walaupun amaran diberikan.“Semua penuntut itu bagaimanapun akan dibebaskan petang ini (semalam) selepas keterangan mereka diambil.“Saya ingin jelaskan polis tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan untuk menyuraikan demonstrasi berkenaan walaupun mereka (pelajar) melakukan provokasi,” katanya.



Menurutnya, pelajar ditahan adalah penuntut UPSI, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beberapa universiti lain. Antara pemimpin pelajar ditahan, Presiden Aktiviti Mahasiswa Indipenden (Kami), Haziq Abdullah Abdul Aziz, Timbalan Presiden Kami, Khalid Ismath, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Mohd Shahid Mohd Zaini orang kanan Solidariti Mahasiswa Malaysia, Shukri Kamarudin, penuntut UPSI, Adam serta kira-kira 40 lagi mahasiswa dipercayai datang dari luar Tanjung Malim turut diberkas dan dibawa ke balai polis.






Sumber Hmetro

Blog Yang Hebat

apamaujadi.com. Dikuasakan oleh Blogger.