Selasa, 20 September 2011

Maut Dihempap Tiang Gol



KLANG: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.
Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya.

Blog Yang Hebat

apamaujadi.com. Dikuasakan oleh Blogger.