Sebagai ibu bapa, agak sulit menangani anak-anak yang susah mendengar kata. Lazimnya, apa yang diarahkan sukar dilaksanakan mengikut kemahuan ibu bapa. Malah sikap bertangguh atau membiarkan arahan yang diberi begitu sahaja menjadi amalan segelintir anak-anak ini.Tentunya senario yang berlaku memeningkan kepala malah jika tidak diatasi segera mungkin menjadi nanah yang memakan kebahagiaan sesebuah keluarga. Usah gusar kerana masih ada jalan penyelesaiannya.
Belajar Kawal Emosi
Secara logiknya, ibu bapa yang marah akan meninggikan suara. Akibatnya, si anak akan berikan sepenuh perhatian terhadap apa yang anda katakan. Hakikatnya bukan itu yang terjadi. Anak-anak mungkin diam ketika anda sedang beremosi tetapi mereka kurang mendengar butir bicara yang ada luahkan ketika itu. Lazimnya, anak-anak ini akan beri tumpuan kepada emosi dan bukannya perkataan yang diucapkan. Oleh itu, berbicaralah dengan tenang, jelas dan khusus bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Lantaran itu, berfikirlah sebelum bertindak dan tentukan apa yang anda inginkan. Jadikan kata-kata atau arahan yang anda berikan sebagai penyampaian yang berkesan buat mereka.
Dekati Anak Untuk Respon Yang Lebih
Memang mudah untuk menjerit dari dua ruang yang jauh di dalam rumah, tetapi ia kurang efektif untuk dipraktikkan. Si anak akan berikan respon yang lebih baik sekiranya ibu bapa datang bersemuka dengan mereka. Apabila anak-anak ini berada di hadapan mata, anda dapat lihat adakah si anak beri perhatian atau tidak terhadap apa yang dikatakan. Tidak dinafikan bersemuka dengan anak menuntut waktu yang lebih tetapi bila dilakukan berulang kali, hasilnya pasti berbaloi.